Rabu, 15 November 2017

Misteri Bukit Kluang Di Besut Terengganu

mohamadamsyar.blogspot.com
BUKIT KELUANG:






Tempat ini satu ketika dulu pernah menjadi tempat persinggahan atau persembunyian lanun yang menjalankan kegiatan mereka di Laut China Selatan.
Banjaran bukit batu yang ada di pesisir pantai dengan mempunyai tujuh gua mengadap ke laut dikatakan menjadi tempat lanun menyimpan khazanah yang dirompak daripada kapal dagang.
Kedudukan bukit yang terdampar hingga ke pesisir pantai serta memiliki gua meyakinkan penduduk tempatan dengan cerita misteri dan sememangnya layak menjadi sejarah sebagai pusat kegiatan lanun pada zaman dalu..

KISAH PENUH
MISTERI BUKIT KELUANG.



BUKIT KELUANG, TERENGGANU: BUKIT KELUANG yang terletak dalam daerah Besut, Terengganu yang berjarak 140 kilometer dari bandar Kuala Terengganu memang tersohor sebagai sebuah tempat peranginan menarik apatah lagi telah banyak dirakam di dunia maya kerana keunikannya. Tetapi tahukah anda, selain Bukit Keluang mempunyai latar belakang dan sejarah yang tersendiri, bukit tersebut juga mengundang pelbagai kejadian misteri yang hanya diketahui oleh kalangan penduduk di kawasan itu sahaja.

Menjelaskan hakikat ini, Razali bin Hussin atau Abang Li Bonsai, 51, dari Bukit Keluang, Besut, Terengganu ketika ditemui Penulis di kediamannya berkata, Bukit Keluang mendapat nama dari seorang pahlawan wanita bernama "Khu Foo Luan" yang berasal dari Thailand yang telah melarikan diri lalu berkampung di tempat itu. Ketika lanjut usianya, orang-orang Melayu memang sukar untuk menyebut namanya yang terlalu panjang, jadi alternatif paling mudah mereka memanggilnya "Kluang'.

Katanya, pada masa dulu, Bukit Keluang adalah sebuah pulau di mana satu sumber menyebut, Bukit Keluang dikenali juga sebagai 'Pulau Perhentian Darat'. Ini kerana, banyak batu karang laut yang hanya terdapat di pulau-pulau tetapi tidak pernah ditemui di pantai, amat jelas Bukit Keluang termasuk dalam kategori itu. Sebab itulah, sehingga hari ini kesan-kesan peninggalan batu karang masih lagi wujud namun telah semakin berkurangan akibat dijadikan kawasan peranginan.

Menurutnya, ketika beliau masih dalam usia kanak-kanak kemudahan jalan raya yang menghubungkan ke Bukit Keluang masih belum diturap malah masih diselubungi debu. Kemudiannya setelah Bukit Keluang dibuka secara rasmi untuk dijadikan kawasan peranginan pada tahun 1980 oleh Tan Sri Yusoff Nor menyebabkannya berubah wajah. Selepas pembukaan kawasan peranginan tersebut, orang Kelantan adalah golongan terawal santai-santai di situ sambil menghirup udaranya yang segar di samping menikmati panoramanya yang indah.

Walau bagaimanapun menurut Abang Li, setiap tempat tersorok apatah lagi di sebalik bukit yang tersergam gah sehingga hari ini rupa-rupanya menyimpan pelbagai kisah misteri. Beliau mengetahui kejadian itu berdasarkan pengalamannya sendiri yang telah menetap di belakang bukit itu sejak 15 tahun lalu dan kini beliau adalah generasi kedua selepas moyangnya yang memang berasal dari tempat itu.

"Abang Li pada mulanya tidak tahu Bukit Keluang ini bermisteri, sehinggalah satu kejadian tiga tahun lepas, apabila terlihat kelibat seorang tua berkeadaan ganjil yang tak pernah Abang Li lihat sedang mundar-mandir di kawasan ini beberapa kali.

"Agak-agak Abang Li umurnya dalam ratusan tahun, anehnya dapat berjalan sebagaimana orang muda berusia belasan tahun. Bentuk tubuhnya agak halus dan kurus berwarna hitam, berkedut dan berambut hitam, pakaiannya agak lusuh dan kotor tetapi tidak berbau busuk.

"Ganjilnya, orang tua ini sering membawa baldi kecil di mana di dalam baldi itu terdapat sebuah surah Yassin berwarna merah. Paling peliknya, setiap kali kita berniat untuk membicarakan kisah dan latar belakangnya seperti orang tua itu tahu", ujar Abang Li yang sebelum ini pernah terlibat dengan bidang seni dikir barat.

Kata Abang Li, Bukit Keluang juga mempunyai 17 buah gua, namun gua yang paling tersohor hanya tiga buah terdiri dari Gua Datuk, Gua Jejawi dan Gua Ular. Ramai golongan pertapa dari seluruh negara terutamanya dari Kedah yang datang berkhalwat, bertapa, uzlah dan bersuluk dalam ketiga-tiga gua yang dimaksudkan. Beliau sendiri pernah tidur dalam gua yang dimaksudkan bersama anaknya yang kecil untuk memperolehi pengalaman sebagaimana golongan bersuluk itu.

"Kejadian disakat lembaga atau makhluk yang menghuni di Bukit Keluang memang sering berlaku terutamanya kepada golongan pemancing dari luar. Kebanyakannya berbentuk jelmaan manusia dan bentuk suara. Lembaga ini tidak ada kaitan dengan jelmaan seorang tua sebagaimana Abang Li temui sewaktu ketika dahulu, jelmaan ini lembaga lain pula", katanya.

Tambahnya, menurut cerita orang-orang tua, penghuni ghaib di Bukit Keluang ini meliputi dua kumpulan yang terdiri dari jin Islam dan jin kafir (jahat). Misalnya pada masa dulu, jin kafir suka menyakat atau mengusik orang dan jika ada individu manusia berhajat kepada sesuatu yang tidak baik seolah-olah jin kafir ini boleh memberikan khidmat dan bantuan yang diperlukan. Contohnya, jika ingin melakukan pengkhianatan terhadap orang yang dibenci seperti 'santau' dan 'sihir', maka jin kafir inilah perantaraannya. Manakala upah yang diberikan selalunya seperti kelapa muda, sirih dan rokok.

Sebaliknya jika besar khidmat yang diperlukan, maka besarlah upahnya pernah berlaku di tempat berkenaan pada masa dulu. Namun, pada zaman moden ini, amalan berkenaan tidak lagi diberikan perhatian. Sama ada amalan 'berkhalwat' itu salah atau sebagainya, namun pernah dilihatnya amalan dengan meletakkan lilin dan sebagainya untuk tujuan memuja nombor ekor wujud di dalam gua bukit itu yang dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

"Abang Li juga pernah bertemu makhluk halus di sebatang jalan raya berhampiran Bukit Keluang ini pada waktu malam sebanyak tiga kali selama 15 tahun Abang Li menetap di sini.

"Pada suatu malam, hujan rintik-rintik turun, ketika itu Abang Li sedang memandu kereta dari arah luar dengan melalui sebatang jalan raya untuk masuk ke rumah Abang Li. Ketika asyik memandu, Abang Li nampak seorang kanak-kanak lelaki sedang berlari dari hujung jalan ke arah kereta yang dipandu Abang Li.

"Memang nampak jelas dari suluhan lampu kereta ke arah batang tubuh kanak-kanak itu yang berlari sambil menundukkan kepalanya untuk mengelakkan hujan membasahi mukanya. Kalau iktu realitinya, sudah tentu kanak-kanak itu kena langgar kerana meluru ke arah kereta sedang bergerak. Namun tidak berlaku sebarang perlanggaran dengan kanak-kanak lelaki itu. Terdetik juga dalam hati Abang Li sehingga tersembul kata-kata, eh apa ni, pelik budak ni?" cetus Abang Li yang ternyata agak hairan dengan kejadian itu.

Sambungnya, tidak selesai dengan kejadian misteri yang melibatkan jelmaan kanak-kanak di sebatang jalan raya masuk ke rumahnya, namun Abang Li turut mengalami kejadian pelik seorang perempuan sedang memangku bayinya yang masih kecil di tempat yang sama. Ketika Abang Li sedang memandu keretanya, beliau terlihat seorang perempuan sedang berjalan perlahan-lahan sambil memangku bayinya itu, tiba-tiba berhenti serta merta di tepi jalan kerana melihat suluhan lampu kereta Abang Li. Perkara yang tidak dapat dilupakan oleh Abang Li apabila perempuan itu menghulurkan bayi yang dipegangnya ke seberang jalan dengan memanjangkan tangannya untuk mengelakkan dilanggar kenderaan beliau. Menurut Abang Li, beliau agak perempuan aneh itu bukan manusia tetapi jelmaan makhluk halus yang menghuni di Bukit Keluang itu.

Menurut Abang Li lagi, pada suatu ketika waktu Maghrib berlaku air pasang agak laju dari pantai melimpahi kawasan rumah yang didiaminya sekarang. Kira-kira jam 3.00 pagi beliau mendapati ada seorang perempuan tua sedang mendayung perahu dengan membawa bayinya sedang menjerit dan menangis dengan suara yang agak nyaring. Beliau yang tidak dapat tidur kerana diganggu tangisan dan jeritan bayi itu lantas berlari ke arah datangnya suara berkenaan sambil merungut kerana terlalu bising untuk tujuan mententeramkannya. Dalam keadaan geram bercampur marah kerana menganggap apa jenis manusia membiarkan bayi mereka menangis seperti itu tanpa berusaha untuk mendiamkannya, Abang Li bergegas ke arah tempat yang dimaksudkan. Tetapi alangkah terkejutnya, sewaktu perempuan tua itu mendongakkan kepalanya ke arah Abang Li, didapati mukanya berkeadaan gelap seolah-olah tidak mempunyai wajah.

"Abang Li juga pernah melalui suatu kejadian misteri melibatkan makhluk halus sering berlaku di Bukit Keluang ini apabila seorang perempuan muda aneh turun dari bukit itu sambil menangis, ketawa dan meminta tolong dari hujung bukit sebelah sini sehingga ke hujung bukit sebalah sana. Dalam masa dua atau tiga hari berlaku kematian itu mati lemas. Ini sebagai amaran atau petanda kejadian akan berlaku", ujar Abang Li sambil jari telunjuknya menuding ke arah bukit tersebut.

Sementara itu menurutnya, bersebelahan dengan deretan kawasan rumahnya sehingga ke muara sungai pada masa dulu adalah tapak tanah perkuburan lama. Dalam tiga buah kubur yang dimaksudkan, pernah ada pihak melakukan pemujaan sepetti Kubur Datuk. Digelarkan orang-orang tua dahulu sebagai 'Datuk' kerana arwah adalah seorang pendakwah (mubaligh). Kedatangannya ke situ mempunyai tujuan yang suci sebagai pendakwah untuk menyampaikan ilmu. Dengan takdir Illahi tiba-tiba pendakwah tersebut meninggal dunia dalam sebuah sungai di muara kaki Bukit Keluang itu, sungai itu kemudiannya dinamakan 'Sungai Keluang'.

Lazimnya, aliran air Sungai Keluang terus ke laut, tetapi mayatnya lawan arus. Mayat pendakwah tesebut didapati terperap di sungai tersebut selama dua hari. Melihatkan keadaan itu apatah lagi atas dasar tanggungjawab sesama muslim lalu orang-orang kampung berkenaan mengkebumikan mayatnya di atas tebing sungai berkenaan. Walau bagaimanapun, Kubur Datuk itu didapati telah diceroboh atau digali kira-kira dua tahun lepas. Abang Li difahamkan, kubur tersebut digali oleh pengamal khurafat untuk menurunkan nombor ekor, kononnya untuk memperolehi kekayaan yang cepat sedangkan tindakan mereka itu bercanggah dengan kehendak agama.

Dalam hal ini menurut Abang Li, beliau tidak berniat untuk menganggap Bukit Keluang itu berpuaka atau mengusik sehingga menyebabkan industri pelancongan terjejas dan menyusahkan golongan peniaga yang membina gerai di tempat berkenaan. Namun, sebagai generasi yang berasal dari tempat berkenaan, beliau cuba menyakinkan bahawa setiap tempat yang ada bukit malah kawasan terpencil pula pasti wujud kejadian misteri seumpama itu, apatah lagi jika makhluk berkenaan cuba diganggu.

Justeru, beliau berharap kepada pelancong dan pelajar-pelajar yang datang berkelah atas dasar ko-kurikulum sekolahn supaya tidak berfoya-foya pada waktu malam di kawasan itu apatah lagi cuba melakukan sesuatu yang tidak senonoh dan menjolok mata, tentunya perkara yang tidak diingini pasti akan berlaku khasnya kejadian yang dianggap pelik di situ. Jadi, berusahalah menjaga ketenteraman Bukit Keluang seumpama kita menjaga keluarga kita sendiri.
KISAH DINAMAKAN BUKIT KLUANG